Wahai Wanita, Tutuplah Aurat

by - March 16, 2014

Bismillahirahmanirahim.


Secara khususnya, entri pada kali ini dinukil khas bagi golongan wanita Islam yang masih teragak-agak untuk menutup aurat sepenuhnya. Contohnya, tidak memakai tudung.

Pertama sekali, ana ingin memberi penjelasan tentang darjat seorang wanita di muka bumi Allah ini.

"Dunia adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan adalah wanita solehah"

Allah memerintahkan wanita untuk menutup auratnya dari rambut ke kaki kecuali muka dan telapak tangannya manakala lelaki bermula dari pusat sehingga ke lutut.

Persoalannya, mengapa aurat wanita lebih banyak berbanding lelaki? Hal ini adalah kerana, seluruh anggota badan wanita adalah bernilai. Wanita adalah sangat berharga.

Potongan daripada sebuah hadis.

"Wahai Rasulullah, siapakah manusia yang saya berhak pergauli(layani) dengan baik"

Rasulullah menjawab,
"Ibumu"

Sahabat bertanya lagi,
"Lalu siapa?"

Rasulullah mengulangi,
"Ibumu"

Sahabat bertanya lagi,
"Lalu siapa?"

Rasulullah mengulangi,
"Ibumu"

Sahabat bertanya lagi,
"Lalu siapa?"

Rasulullah menjawab,
"Bapamu"
(Hadis Riwayat Ahmad dan Abu Daud)

Wanita adalah 3 kali ganda tinggi darjatnya berbanding lelaki. Statement di sini bukan ingin merendahkan martabat atau darjat lelaki, tetapi untuk membuktikan betapa bernilainya wanita.

Baiklah, seterusnya kita masuk kepada tajuk artikel pada kali ini. Suka ana untuk kongsi sebuah cerita lagi.

Ana ada seorang sahabat, beliau pada asalnya tidak memakai tudung. Tetapi setelah bertahun-tahun ana tidak menghubunginya, tiba-tiba keluar 'pop up' sebuah mesej di Facebook dari sahabat ana tersebut.

Beliau menyatakan beliau sudah berhijrah, pakai tudung. Tetapi malangnya, beliau menghadapi masalah. 

Apakah masalahnya? Beliau mengutarakan, tindakan beliau untuk memakai tudung dipandang aneh oleh orang persekitarannya seperti ahli keluarga dan rakan. Jadi, beliau teragak-agak untuk memakai tudung di depan mereka.

Ana memberitahu sahabat tersebut, "Pakailah tudung. Walaupun tak mampu untuk pakai di depan mereka, maka pakailah di belakang mereka. Sekurang-kurangnya ada terdetik niat untuk berhijrah di dalam qalbu(hati) kita."

Alhamdulillah, beliau sudah bertudung sekarang. Sama ada di depan mahupun di belakang.

Ana ingin kongsi sebuah lagi kisah yang diambil daripada hadis Rasulullah. Lebih kurang macam ini lah mafhumnya.

Seorang pembunuh lelaki telah membunuh 99 manusia. Dengan hidayah Allah, terdetik di dalam hatinya untuk insaf dan kembali bertaubat kepada Allah. Beliau menanyakan kepada seorang lelaki yang dijumpainya di tepi jalan,

"Bagaimanakah caranya untuk aku menemui seorang pendeta?"

Lelaki tersebut memberitahu pembunuh itu cara untuk menemui pendeta di dalam sebuah kota.

Ketika pembunuh itu berhadapan dengan pendeta, diajukan sebuah soalan,
"Aku telah membunuh 99 manusia, adakah diterima taubatku?"

Pendeta tersebut menjawab,
"Tidak sama sekali, engkau telah membunuh begitu ramai manusia. Sudah tentu Allah tidak akan menerima taubatmu"

Pembunuh itu lalu membunuh pendeta tersebut maka genaplah 100 orang manusia dibunuhnya.

Lalu pembunuh itu menemui seorang yang alim lalu bertanya,
"Aku telah membunuh 100 manusia, adakah diterima taubatku?"

si Alim tersebut menjawab,
"Sudah tentu diterima, Allah Maha Pengampun, kamu perlu berhijrah ke tempat di mana penduduknya taat kepada perintah Allah kerana tempat yang kamu tinggal sekarang tidak sesuai buatmu"

Pembunuh tersebut lalu berhijrah ke sebuah kota. Di dalam perjalanannya, beliau telah menemui ajal.

Kemudian datanglah malaikat rahmat dan malaikat azab. Kedua-dua malaikat ini berebut untuk membawa rohnya. Kedua-duanya mempunyai hujah masing-masing

"Dia telah berniat untuk berubah, biarlah aku mengambilnya,"
kata malaikat rahmat.

"Dia telah melakukan dosa yang begitu banyak, biarlah aku mengambilnya,"
kata malaikat azab.

Pertengkaran yang kecil ini diadili oleh Allah, Allah menyuruh malaikat mengira jarak perjalannya dari tempat asalnya ke tempat yang ditujunya.

Hasilnya, si pembunuh tersebut telah melebihi separuh daripada perjalanannya. Bermakna, kedudukannya lebih dekat dengan tempat ditujunya berbanding tempat asalnya. Lalu Allah memerintahkan malaikat rahmat untuk mengambil rohnya.

Allahurabbi, betapa senangnya nak masuk ke syurga Allah.

Allah Maha Adil, jadi kita ambil 'ibrah dari kisah ini dan kaitkan dengan tajuk entri pada kali ini. Seorang wanita, kalau tak mampu nak pakai purdah, berjilbab labuh sehingga mencecah lantai, berjubah hitam macam langsir, Tidak mengapa.

Perubahan harus dilakukan secara berperingkat-peringkat. Kalian pakai tudung yang menutupi dada dan berpakaian longgar pun dah cukup. Dari aspek kekemasan dah lulus, syurga dah menanti InsyaAllah.



Jadi, jom buat perubahan :)

Wallahu a'lam

You May Also Like

2 comments